SELANGOR

Inkues Adib: Saksi guna van EMRS terang insiden kejadian

15 Mei 2019, 5:11 AM
Inkues Adib: Saksi guna van EMRS terang insiden kejadian

SHAH ALAM, 15 MEI: Inkues menyiasat kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini melihat demonstrasi insiden yang berkemungkinan berlaku terhadap anggota bomba itu menggunakan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dibawa khas ke Mahkamah Shah Alam.

Van itu bagaimanapun bukan van sama dinaiki Allahyarham ketika kejadian pada 27 Nov tahun lepas.

Demonstrasi hampir setengah jam bermula pukul 10.30 pagi itu dilakukan oleh saksi ke-24, pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Demonstrasi berkenaan bertujuan mengukuhkan dapatan teori saksi itu yang menjelaskan mengenai kecederaan patah tulang rusuk yang dialami Muhammad Adib akibat dilanggar van EMRS ketika kejadian.

Koroner Rofiah Mohamad dan pihak-pihak berkepentingan dalam inkues tersebut turut ditunjukkan demonstrasi van tersebut bergerak secara mengundur seperti dapatan saksi itu.

Difahamkan kelajuan van EMRS tersebut mengundur adalah 17 km/j iaitu sama dengan situasi pada malam kejadian.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619