SELANGOR

13 tahfiz tidak penuhi standard diarah tutup - JAIS

14 Mei 2019, 3:03 AM
13 tahfiz tidak penuhi standard diarah tutup - JAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Sekurang-kurangnya 13 sekolah tahfiz di sekitar Selangor diarahkan tutup bagi mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang ditetapkan demi kecemerlangan pelajar tahfiz.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, semua tahfiz terbabit adalah sebahagian daripada 362 sekolah tahfiz swasta dan persendirian yang berdaftar di bawah JAIS.

“Manakala 13 daripada jumlah itu diarah menghentikan operasinya dalam memastikan semua sekolah Tahfiz mematuhi standard pembinaan dan kokurikulum yang telah ditetapkan demi kecemerlangan pelajar Tahfiz,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar diarah tutup.

Titah baginda, penutupan juga perlu dilakukan ke atas sekolah tahfiz yang tidak mempunyai kokurikulum serta sistem pendidikan akademik moden.

Pada masa sama, Haris berkata, seramai 225 pelajar tahfiz mengikuti Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Huffaz Selangor yang bermula Mac lalu.

Katanya, ia turut membabitkan 52 guru yang akan mengajar lapan mata pelajaran bagi SPM.

“Program ini berjalan di tujuh lokasi di enam daerah seluruh Selangor. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.94 juta kepada JAIS bagi menjayakan program itu.

“Objektif utama program ini adalah sebagai persediaan kepada pelajar-pelajar maahad tahfiz swasta untuk mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas tambahan dan membolehkan mereka mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya giat menambah blok bangunan baru di tiga buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Istana Bandar, Bagan Lalang dan Bagan Terap.

“JAIS juga sedang membangunkan tiga buah sekolah baru di pelbagai lokasi Sekolah Agama Rakyat (SRA) Denai Alam, SRA Country Home dan MITS Kg Pandan bagi menampung permintaan kemasukan pelajar baru ke sekolah aliran agama,” katanya.

 

 

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619