NASIONAL

Badan Peguam Malaysia gesa kerajaan tubuh IPCMC segera

13 Mei 2019, 12:10 AM
Badan Peguam Malaysia gesa kerajaan tubuh IPCMC segera

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, IPCMC akan dapat meningkatkan kredibiliti dan kedudukan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Penubuhan IPCMC mengikut perlembagaan dan tidak melanggar Seksyen 4 Akta Polis 1967,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara, memperuntukkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Pasukan Polis yang boleh menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis.

"Kami ingin menyatakan bahawa dalam pelaksanaan tindakan disiplin, IPCMC tidak akan menjejaskan kuasa IGP.

“Hanya fungsi disiplin dan siasatan yang kini berada di bawah Suruhanjaya Pasukan Polis, iaitu badan dalaman, yang akan diambil alih oleh IPCMC, untuk mempunyai pengawasan luaran," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia menyokong pendirian Ketua Polis Negara (IGP) yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai tanggungjawab dalam memastikan pihak polis akan mendapat hasil terbaik dari semua aspek, manakala orang ramai akan merasa dilindungi serta mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada penubuhan IPCMC.

"Kenyataan IGP yang menyokong penubuhan IPCMC, yang bertujuan untuk berfungsi sebagai badan pengawasan bebas dan luaran bagi menyiasat aduan yang melibatkan anggota PDRM adalah penting, positif dan menggalakkan.

"Harapan kami, kepimpinan IGP dalam hal ini akan membawa anjakan baru kepada akauntabiliti dan keyakinan orang ramai terhadap PDRM," tambah Abdul Hamid.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619