BERITA UTAMA

Vivian ziarah pusara, hadiah kemenangan kepada bapa

12 Mei 2019, 6:07 AM
Vivian ziarah pusara, hadiah kemenangan kepada bapa
Vivian ziarah pusara, hadiah kemenangan kepada bapa

SANDAKAN, 12 MEI: Anggota Parlimen Sandakan yang baharu dipilih semalam, Vivian Wong Shir Yee memulakan pagi pertama sebagai wakil rakyat, mengotakan janjinya untuk menziarahi pusara bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang menganggap kemenangannya semalam sebagai hadiah buat bapanya.

Vivian ditemani ibunya, Datin Florence Chong Mee Fook dan anggota keluarga lain serta rombongan DAP Sandakan, melawat pusara mendiang bapanya di Perkuburan Kristian Sandakan di sini.

Beliau dan rombongan menundukkan kepala di hadapan pusara bapanya sebagai tanda hormat kepada mendiang atas khidmatnya kepada rakyat ketika menjadi anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal.

Suasana menjadi pilu apabila Vivian sukar menahan airmatanya daripada mengalir ketika meletakkan jambangan bunga di atas pusara bapanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan itu untuk mendiang bapanya atas bimbingan mendiang dalam arena politik.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian Stephen akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu di Kota Kinabalu.

Semalam, Vivian diisytiharkan anggota Parlimen Sandakan yang baharu dengan undi majoriti yang besar iaitu 11,521 mengatasi undi majoriti yang diraih bapanya sebanyak 10,098 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Beliau menewaskan pencabar terdekatnya Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

- BERNAMA

Foto Sumber: Vivian Wong Facebook

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619