NASIONAL

PRK Sandakan: SPR lantik hampir 800 petugas lancarkan pengundian

10 Mei 2019, 3:29 AM
PRK Sandakan: SPR lantik hampir 800 petugas lancarkan pengundian

SANDAKAN, 10 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik hampir 800 petugas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bagi melancarkan proses pengundian, Sabtu ini.

Timbalan Pengarah SPR, Dr Azmi Sharom berkata, penambahan pegawai di saluran satu dan dua juga dibuat kerana ia khusus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mengundi.

“Ini merupakan penambahbaikan yang diperkenalkan dalam PRK ini bagi membantu pengundi yang berkerusi roda atau bertongkat, ada orang yang boleh membantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azmi juga menyeru kepada pengundi di Parlimen Sandakan supaya turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut mengingatkan waktu mengundi ialah pada pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 19 pusat melibatkan 90 saluran.

"SPR juga menjangkakan keputusan PRK SANDAKAN akan diketahui sebelum 10 malam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, walaupun terdapat aduan dan masalah namun kempen PRK Sandakan berjalan dengan baik dan patut dicontohi.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619