NASIONAL

Pilih calon yang bekerjasama dengan kerajaan

9 Mei 2019, 12:55 PM
Pilih calon yang bekerjasama dengan kerajaan

SANDAKAN, 9 MEI: Pengundi di Sandakan diharap mengundi calon yang mempunyai kerjasama dengan kerajaan hari ini bagi memudahkan suara rakyat didengar, khususnya berkaitan harapan agar ekonomi di kawasan ini dirancakkan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob hari ini.

Merujuk kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, beliau berharap rakyat memahami keikhlasan kerajaan untuk mengubah Sabah ke arah lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan negeri yang baharu menginginkan rakyat yang berilmu dan mempunyai kemahiran sesuai dengan permintaan pasaran kerja.

"Oleh itu, pelbagai perancangan kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat, antara yang utama ialah masalah pengangguran dalam kalangan belia,” katanya ketika merasmikan Karnival Pameran dan Kerjaya Sandakan 2019 di sini hari ini.

Menurut Yusof, dianggarkan 70,000 graduan di Sabah yang tidak bekerja dan usaha sedang dilakukan untuk melatih semula graduan tersebut agar memiliki kemahiran untuk mengisi kekosongan pekerjaan di pasaran.

Selain itu, beliau berkata kerajaan memberi peluang pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terbaik dunia atas tajaan biasiswa negeri atau Yayasan Sabah.

Katanya, kerajaan berharap graduan cemerlang dapat kembali ke Sabah untuk memimpin negeri ke arah yang lebih cemerlang lagi.

“Kita mahu mereka menjadi perancang dan peneraju pembangunan Sabah dengan idea kreatif dan berfikiran jauh dalam memajukan ekonomi negeri,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619