SELANGOR

Gangguan bekalan air di Klang pulih mulai esok

9 Mei 2019, 4:21 AM
Gangguan bekalan air di Klang pulih mulai esok

PUTRAJAYA, 9 MEI: Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kontraktor Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang bekerja 24 jam bagi melaksanakan kerja pembaikan paip berkenaan yang telah siap pada kadar 35 peratus sehingga semalam.

Beliau berkata kontraktor Air Selangor perlu mengambil masa membaiki tiga paip besar berukuran 1400mm, 900mm dan 600mm yang pecah Ahad lepas.

"Saya minta kesabaran penduduk Klang sebab masalah air ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.

"Kontraktor bekerja 24 jam bagi memastikan air disambung balik," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kementeriannya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata pihaknya juga mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyiasat isu paip pecah terbabit.

Sejak Ahad lalu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619