NASIONAL

Projek Terusan Kra: Kerajaan hormati keputusan Thailand

8 Mei 2019, 5:19 AM
Projek Terusan Kra: Kerajaan hormati keputusan Thailand

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kerajaan menghormati keputusan Thailand sekiranya negara itu mahu meneruskan projek Terusan Kra (Kra Canal).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pelaburan untuk membina terusan itu melibatkan khususnya negara Thailand dengan tujuan tertentu dan mesti dihormati.

“Kita anggarkan bahawa kesan negatif kepada pelabuhan Malaysia tidak sangat besar tetapi pelabuhan negara jiran lebih besar (menerima) kesan negatifnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu respons kerajaan selepas Thailand mengumumkan akan mengkaji semula pembinaan terusan sepanjang 102km itu.

Kamarudin berkata, kerajaan mengikuti perkembangan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya ia benar-benar dilaksanakan negara jiran itu.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pelabuhan-pelabuhan negara menunjukkan kemajuan berdasarkan kepada peningkatan sembilan peratus jumlah kendalian kargo pada suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, prestasi keseluruhan pengendalian kontena bagi pelabuhan Malaysia direkodkan 6,315,457 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki).

“Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas telah merangka pelan induk perancangan pembangunan masing-masing merangkumi pembesaran serta pemodenan infrastruktur pelabuhan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan menggiatkan usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan strategik dalam industri maritim dengan mengadakan rundingan bersama syarikat perkapalan utama dunia.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619