SUKANKINI

MPK A tewaskan UiTM A kejohanan boling padang

3 Mei 2019, 2:00 PM
MPK A tewaskan UiTM A kejohanan boling padang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 3 MEI : Pasukan boling padang Majlis Perbandaran Klang A berjaya menewaskan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) A, 9-5 pada Kejohanan Lawn Bowls Mixed Fours UiTM 2019.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sejak 1 Mei lalu diadakan di Stadium Tertutup Bayuemas Pandamaran, di sini hari ini.

Pegawai Sukan Kanan UiTM, Haslah Hasan berkata, kejuaraan itu melayakkan pasukan terbabit membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan, medal dan hamper.

"Kejohanan boling padang ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertainya dan sambutan agak memberangsangkan sejak hari pertama penganjuran.

"Boling padang mungkin tidak terkenal seperti sukan lain, namun sejak diperkenalkan di Malaysia pada 1998 sempena Sukan Komanwel, sukan ini mempunyai pemain tersendiri.

"Tahniah diucapkan kepada pemenang dan yang tidak menang, anda semua tetap juara. Semoga usaha serta semangat ini berterusan," katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, sebanyak 43 pasukan dari seluruh Malaysia menyertai kejohanan ini antaranya UiTM, Universiti Pertahanan Negara Malaysia, Universiti Malaya, Politeknik Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bowls Lembah Klang.

Pada pusingan separuh akhir, pasukan MPK A berjaya menewaskan Perak B dengan keputusan 13-11 manakala pasukan UiTM A mengalahkan Perak A, 16-4.

MPK A diwakili pemainnya Norzafirah Mohd Noor, Shaiful Nazrie Samdin, Muhamad Faizal Meskam dan Muhamad Azwan Shuhaimi.

Sementara itu, naib johan menerima wang tunai RM1,500, medal dan hamper, manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Perak A dan B dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM800, medal serta hamper.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619