NASIONAL

Tiada keperluan jumpa PM isu pemutihan perkhidmatan awam

22 Apr 2019, 1:53 PM
Tiada keperluan jumpa PM isu pemutihan perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 22 APR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bercadang menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana beliau percaya Perdana Menteri dan kepimpinan lain seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berpengalaman dalam menangani perkara itu.

"Tiada keperluan untuk berjumpa Perdana Menteri kerana kita percaya beliau arif mengenai perkara ini. Itu hanyalah satu cadangan dan tidak semestinya cadangan ini dilaksanakan," katanya ketika sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Badan-badan Berkanun Cuepacs, di sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Azih juga berkata, tiada sebab untuk meragui kesetiaan penjawat awam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka bekerja dan menjalankan tanggungjawab terhadap kerajaan memerintah dan bukannya parti politik.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia supaya Seksyen 52 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dipinda bagi memberi keadilan kepada pekerja di badan berkanun termasuk badan berkanun yang diasingkan saraan.

Katanya, pindaan itu akan membolehkan mereka merujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap pertikaian yang berlaku dalam kerja mereka termasuk dalam hal tatatertib dan pembuangan pekerja.

"Ketika ini mereka tidak boleh rujuk kepada Mahkamah Perusahaan terhadap mana-mana kes yang berkaitan tatatertib mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata, CUEPACS bersetuju dengan cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengurangkan masa bekerja doktor pelatih.

Azih berkata, ia bertepatan dengan kenyataannya pada Disember lepas yang menyatakan tahap stress pekerja di Malaysia adalah tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619