PENDIDIKAN

Pelajar cemerlang STAM gembira terima biasiswa MB ke Mesir

19 Apr 2019, 12:54 PM
Pelajar cemerlang STAM gembira terima biasiswa MB ke Mesir
Pelajar cemerlang STAM gembira terima biasiswa MB ke Mesir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 19 APR: Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Muhammad Alif Haikal Zulkefli, 19, gembira apabila diberi peluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, melalui Biasiswa Dato' Menteri Besar, tahun ini.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam itu berkata, peluang terbabit dirasakan seperti bulan jatuh ke riba apabila hanya beliau bersama dua lagi pelajar lain yang berjaya mendapat biasiswa berkenaan.

"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya impian saya untuk mempelajari Bahasa Arab ke universiti luar negara akhirnya tercapai.

"Impian saya adalah untuk 'membedah' kitab Bahasa Arab yang mungkin menjadi sumber ilmu kepada manusia sejagat, terima kasih Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari," katanya kepada SelangorKini.

Anak sulung dari tiga beradik ini turut gembira apabila pembelajarannya di Timur Tengah selama empat tahun akan ditanggung sepenuhnya.

Katanya, beliau memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang Bahasa Arab di Mesir bagi menimba lebih banyak ilmu pengetahuan.

"Memang saya boleh belajar Bahasa Arab di Malaysia sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah saya mahukan pengalaman bertemu dengan masyarakat luar.

"Saya akan cuba terbaik dalam pelajaran dan akan cuba berkhidmat kembali kepada rakyat Selangor," katanya.

Muhammad Alif bersama 133 pelajar dari Selangor berlepas ke Mesir hari ini bagi menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar.

Majlis pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut diiringi Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan; Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor, Abdul Basith Hamid dan Ketua Sektor Akademik Bahagian Pendidikan JAIS, Muhamad Asmadi Mustakim.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619