SELANGOR

Leoch Accupower komited kekalkan sistem persekitaran baik

19 Apr 2019, 12:42 PM
Leoch Accupower komited kekalkan sistem persekitaran baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kilang Leoch Accupower (M) Sdn Bhd komited mengekalkan sistem persekitaran yang baik sejak mula beroperasi pada 2014.

Pengurus Pentadbirnya, AB Lee berkata, berdasarkan rekod kilang itu tidak pernah mengalami isu alam sekitar sehingga akhir 2017.

Katanya, namun pada 13 Disember 2017,litar pintas berlaku menyebabkan bencana kebakaran mengakibatkan 80 peratus kemudahan operasi, termasuk 1,200 tan bahan musnah seperti plumbum dan asid sulfurik.

"Dengan bimbingan dan nasihat pakar perunding alam sekitar, kami sudah membuang semua bahan terbakar untuk dilupuskan kepada kontraktor berlesen, Tex Cycle Sdn Bhd.

"Pada masa sama, Pakar Insuran Forensik dan Perunding Pemadam Kebakaran turut menasihati, reka bentuk pencegahan kebakaran boleh

diterima pakai semasa proses pembinaan kilang dan kemudahan baharu.

"Setakat ini, hasil sampel efluen tidak menunjukkan sebarang kesan positif oleh perunding kami yang terlibat secara langsung untuk mengenal pasti pencemaran berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi lawatan tapak oleh EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian ke kilang terbabit.

Lee berkata, sehingga 30 Mac lalu, tiada tanda bahan pencemar yang keluar di lubang kawalan dan luar perimeter kilang.

"Justeru, sebagai tindak balas terhadap aduan orang ramai, pada Februari hingga Mac lalu kami mengadakan sesi dialog dan lawatan kilang bersama komuniti awam dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi maklumat telus serta langkah pencegahan yang diambil," katannya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyambut baik seruan Kerajaan Negeri untuk melakukan penilaian dan kajian secara menyeluruh berkaitan isu ini dalam tempoh dua minggu.

"Kami komited untuk terus memantau isu ini sehingga musim hujan seterusnya antara September sehingga Disember tahun ini bagi memastikan kawalan penuh dapat dilaksanakan," katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619