SELANGOR

Penduduk sekitar diminta lakukan pemeriksaan kesihatan

19 Apr 2019, 11:03 AM
Penduduk sekitar diminta lakukan pemeriksaan kesihatan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 19 APR: Penduduk sekitar kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang diminta melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan bebas daripada bahan kimia.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, pihaknya juga menyeru kepada orang ramai untuk tidak membuat spekulasi bahawa racun plumbum tersebar meluas sehingga mencemari kawasan itu.

Katanya, Kerajaan Negeri akan melakukan siasatan lebih terperinci dalam tempoh dua minggu daripada sekarang dan keputusan sama ada kilang itu harus terus ditutup atau beroperasi kembali akan diumumkan nanti.

"Saya nasihatkan penduduk setempat untuk membuat pemeriksaan di hospital bagi memastikan sama ada mereka dijangkiti plumbum atau tidak, jika boleh lakukan ujian darah.

"Bukan sahaja penduduk sekitar namun pekerja di kilang ini dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital sekali gus tampilkan kepada kami bukti sekiranya benar anda dijangkiti plumbum berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat lawatan tapak ke kilang terbabit di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau meminta orang ramai bersabar dan tunggu keputusan selepas dua minggu nanti berkenaan status kilang ini.

"Kita mohon jangan membuat spekulasi ini dan beri peluang kepada pihak berkaitan melakukan siasatan dengan lebih terperinci," katanya.

Terdahulu, terdapat kira-kira 50 orang dipercayai penduduk kawasan sekitar melakukan demonstrasi di hadapan kilang Leoch AccuPower (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, di sini.

Difahamkan, mereka mahu menuntut supaya kilang berkenaan ditutup kerana menganggap ia membawa kesan buruk seperti pencemaran udara dan air di kawasan itu.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619