NASIONAL

Lawatan kerja Azmin ke FELDA Wilayah Raja Alias esok

19 Apr 2019, 8:11 AM
Lawatan kerja Azmin ke FELDA Wilayah Raja Alias esok

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali bakal mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, esok sebagai salah satu program libat urus secara langsung dengan peneroka.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan berkata, lawatan kerja itu akan turut disertai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengarah Besar FELDA, Dato' Dr Othman Omar.

Katanya, lawatan kerja itu bertujuan mencerakinkan program dan inisiatif diperkenalkan dalam Kertas Putih 'Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)' dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 10 April lalu.

"FELDA Wilayah Raja Alias adalah wilayah terbesar dalam negara dengan jumlah 46 Kawasan Rancangan FELDA.

"Kertas Putih FELDA memberi gambaran yang sebenar kepada prestasi kewangan agensi berkaitan serta memuatkan rencana proaktif Kerajaan Persekutuan untuk meringankan kesulitan hidup dihadapi peneroka," kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyebut, Kertas Putih itu juga memperkenalkan bantuan kepada perumahan generasi baharu yang terbengkalai dan hala tuju serta Model FELDA Baharu supaya FELDA dan golongan peneroka bangkit semula sebagai pemacu industri pertanian negara.

"Dukungan masyarakat peneroka akan digembleng bagi menjayakan gagasan FELDA Baharu," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619