SELANGOR

Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor

17 Apr 2019, 1:10 PM
Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor
Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penduduk di Kampung Johan Setia disaran menjaga kebersihan tanah perkuburan yang baharu diserahkan, dan menjadi contoh kepada tapak perkuburan lain.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengubah persepsi masyarakat yang ‘ketakutan’ apabila melihat tanah perkuburan.

“Jika dahulu orang beranggapan kubur adalah tempat yang seram dan menakutkan, namun sekarang ia berjiran dengan penduduk.

“Sebagai contoh, tanah perkuburan ini berada dalam taman perumahan, oleh itu kita mahu penduduk menjaganya supaya sentiasa bersih dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia daripada Majlis Perbandaran Klang kepada Jabatan Agama Islam Selangor, di tapak berkenaan, di sini hari ini.

Katanya, tanah perkuburan itu adalah yang keempat di kawasannya yang akan dilengkapi dengan angka giliran bagi setiap liang.

“Sistem nombor ini dilaksanakan seperti tanah perkuburan Bukit Naga yang menjadi projek perintis, pada 2016 dan kita akan laksanakan di tanah perkuburan ini, berbeza berbanding tanah perkuburan Jalan Kebun dan kawasan berdekatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut menasihatkan penduduk supaya menggunakan kemudahan disediakan di tanah perkuburan itu dengan sebaiknya.

“Dengan adanya kemudahan disediakan, penduduk boleh datang ke sini tanpa rasa takut, malah boleh melakukan aktiviti riadah, selain dapat mengingati kematian,” katanya.

Tanah perkuburan berkeluasan 10.4 hektar itu boleh memuatkan 4,500 jenazah, pada satu-satu masa mengikut kesesuaian di tapak, dengan kos RM2.19 juta.

FOTO OLEH REMY ARIFIN

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619