NASIONAL

Malindo Air lancar penerbangan pertama ke Adelaide

17 Apr 2019, 8:49 AM
Malindo Air lancar penerbangan pertama ke Adelaide

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Malindo Air melancarkan penerbangan pertamanya ke Adelaide melalui Denpasar (Bali), bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, Adelaide adalah destinasi keempat dalam rangkaian penerbangan syarikat itu di Australia selepas Perth, Brisbane dan Melbourne.

“Ketika ini, kami melakukan penerbangan empat kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar. Banyak perancangan kami untuk ke Australia memandangkan kami ingin terus mencari peluang untuk beroperasi lebih kerap ke sana selain mewujudkan destinasi baharu.

“Langkah ini sejajar hasrat kami untuk meningkatkan trafik penumpang di lapangan terbang tertentu, di samping mempromosi pelancongan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan perkhidmatan baharu Malindo Air yang akan memperkukuh kesalinghubungan antara Malaysia dan Australia.

“Tarikan pelancongan dan peluang menjalankan perniagaan di Malaysia serta Australia akan memastikan perkhidmatan baharu ini berjaya. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Malindo Air,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Airports akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pengendali lapangan terbang memaksimumkan keberkesanan iniasiatif pemasarannya untuk menarik syarikat penerbangan baharu dan mewujudkan laluan baharu.

“Malaysia Airports turut menggalakkan syarikat penerbangan sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan selain memperkenal laluan baharu supaya pelanggan mendapat pilihan dan kesalinghubungan yang lebih baik,” katanya.

Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar beroperasi pada Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800/900 yang menawarkan 12 kelas perniagaan dan 150/168 tempat duduk kelas ekonomi.

Tambang promosi sehala bagi kelas ekonomi berharga RM679, manakala RM2,399 bagi kelas perniagaan.

Tempahan penerbangan boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.malindoair.com, kaunter tiket, pusat khidmat pelanggan dan agensi pelancongan terpilih. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619