NASIONAL

Adib mungkin dalam keadaan separa sedar waktu ditarik - Saksi

16 Apr 2019, 2:30 PM
Adib mungkin dalam keadaan separa sedar waktu ditarik - Saksi

SHAH ALAM, 16 APR: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin dalam keadaan separa sedar sewaktu ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lepas.

Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata keadaan itu berlaku atas dua faktor iaitu Muhammad Adib terkejut dengan serangan tersebut atau mangsa mengalami kesakitan yang terlampau.

Beliau pada masa sama berkata anggota bomba itu juga mungkin tidak berdaya untuk melawan individu yang menariknya.

"Mungkin dia sedar ketika ditarik, bergerak tetapi dia tidak melawan, meronta-ronta. Tiada reaksi,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner pada hari ke-27 prosiding inkues dijalankan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah tentang keadaan anggota bomba itu ketika diseret.

Saksi ke-29 itu berkata anggota bomba tersebut berkemungkinan diseret dan bukti terdapat di bahagian punggung seluar celoreng yang dipakai Muhammad Adib.

Beliau berkata kesan debu kotoran yang melekat pada seluar juga boleh membuktikan mangsa diseret.

"Lihat seluar, ada kotoran dan kesan seretan. Fabrik juga berbulu-bulu dan ada benang jahitan putus,” katanya yang turut memeriksa secara teliti seluar celoreng Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.

Inkues bagi menentukan punca kematiannya bersambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619