NASIONAL

PRK Rantau: Pengundi dinasihat keluar mengundi awal, elak provokasi

13 Apr 2019, 3:13 AM
PRK Rantau: Pengundi dinasihat keluar mengundi awal, elak provokasi

SEREMBAN, 13 APR: Polis menasihatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini, untuk keluar mengundi lebih awal, bagi mengelak kesesakan trafik pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt Mohd Rosli Ishak berkata, trafik dijangka sesak, memandangkan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) terletak berdekatan pekan Rantau yang merupakan jalan utama.

Katanya pihaknya telah menugaskan, sembilan pegawai dan 56 anggota trafik, bagi memastikan kelancaran trafik di semua 14 PDM.

"Kita juga minta mereka mematuhi arahan diberikan petugas, sepanjang perjalanan pilihan raya bagi memastikan kelancaraan trafik dan proses pengundian," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau di sini hari ini.

Beliau turut menasihati penyokong parti yang bertanding sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengelak daripada mencetuskan sebarang provokasi di PDM.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang hari ini, bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Sebanyak 20,793 pengundi biasa layak mengundi, selepas 96 peratus daripada 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tanggungjawab masing-masing Selasa lepas.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619