NASIONAL

Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima

12 Apr 2019, 7:45 AM
Tindakan diambil selepas laporan JKKP Johor diterima

KUALA LUMPUR, 11 APR: Laporan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dekat Kota Tinggi Johor, dijangka diterima Kementerian Sumber Manusia petang ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak JKKP Johor telah mengarahkan pasukannya memulakan proses siasatan dan pemeriksaan awal kejadian yang dilapor pada pukul 1.20 pagi itu.

"Setakat ini belum dapat maklum balas, mungkin petang ini dapat laporan awal...apa-apa tindakan yang perlu diambil akan diputuskan berdasarkan 'recommendation’ daripada JKKP Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan Operasi Cegah Jatuh dan Cegah Runtuh di Tapak Pembinaan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kebakaran dan letupan di tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang itu, dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Sementara itu, Mahfuz berkata, sebanyak 479 tapak pembinaan di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi sebulan yang bermula 1 Mac lepas dengan tumpuan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit di kawasan pembinaan.

"JKKP juga menggunakan dron bagi meninjau keadaan dan pematuhan aktiviti pembinaan di tempat tinggi seperti tepian terbuka dan operasi kren menara,'” katanya.

Mahfuz berkata, hasil daripada operasi itu, JKKP mengeluarkan 719 surat arahan terhadap pelbagai kesalahan; 2,160 notis pembaikan dan larangan; menyita 1,131 tapak pembinaan; mengeluarkan 864 kompaun; dan 128 tapak pembinaan pula berhadapan tindakan pendakwaan mahkamah.

Setakat 2019, terdapat 18,000 tapak pembinaan yang berdaftar dengan JKKP.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619