NASIONAL

Hans Isaac Pengerusi FINAS baharu

10 Apr 2019, 6:55 AM
Hans Isaac Pengerusi FINAS baharu

PUTRAJAYA, 10 APR: Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April, demikian umum Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

"Beliau (Hans Isaac) mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan,” katanya dalam kenyataan berhubung pelantikan itu, hari ini.

Hans Isaac merupakan Pengarah Urusan Social 360 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang keselamatan serta insurans dan pernah menjadi anggota Lembaga Penasihat Finas serta anggota lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Gobind berkata, pelantikan Hans Isaac berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi FINAS selama lebih empat bulan yang lalu.

“Kementerian berharap pengerusi yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha FINAS bagi membangunkan industri ini,” kata Gobind.

Beliau juga berharap anggota lembaga FINAS akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pengerusi baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

Gobind dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Samsuni untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619