NASIONAL

PRK Rantau: Pengundi perlu 'rehatkan' Tok Mat - Saifuddin

9 Apr 2019, 12:18 AM
PRK Rantau: Pengundi perlu 'rehatkan' Tok Mat - Saifuddin

SEREMBAN, 9 APR: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk 'berehat' selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan ‘merehatkan’ beliau selepas PRK ini," katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata, pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

"Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda? Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini? Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

"Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya," katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619