NASIONAL

Syarikat konsesi pembekal diberi amaran akhir, pastikan kualiti benih padi

3 Apr 2019, 7:28 AM
Syarikat konsesi pembekal diberi amaran akhir, pastikan kualiti benih padi

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Syarikat konsesi pembekal benih padi diberikan amaran terakhir supaya memastikan benih padi dibekalkan kepada pesawah mematuhi piawaian benih padi sah yang ditetapkan Jabatan Pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu kerana terdapat pembekal daripada sembilan syarikat dilantik tidak mematuhi piawaian benih padi sah yang mengakibatkan pesawah menanggung kerugian disebabkan hasil padi rendah dan tidak berkualiti.

"Kita beri peluang kepada sektor swasta tetapi bila kita beri peluang mereka berkompromi tentang kualiti dan menghasilkan antaranya benih padi sah yang luarnya sahaja sah tetapi dalamnya haram.

"Saya tidak akan zalim, saya akan beri masa untuk mereka membaiki keadaan tetapi ini adalah amaran terakhir supaya mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan tidak berlaku penipuan, penyalahgunaan semata-mata untuk keuntungan peribadi dan sesetengah pihak yang akhirnya mengorbankan pesawah dan petani kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh wakil syarikat konsesi pembekal padi yang dilantik ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) mula menswastakan pembekalan benih padi pada 2010.

Sementara itu, pada sidang media di majlis sama, Salahuddin berkata, kementeriannya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat sebarang salah laku dalam pengurusan pembekalan benih padi sah.

Katanya, siasatan akan dijalankan secepat mungkin sebelum beliau mengeluarkan keputusan muktamad bagi mengakhiri isu ini.

"Saya tidak mahu tahun depan saya terpaksa lancarkan lagi kempen seperti ini kerana saya akan noktahkan masalah ini bagi membela nasib petani dan pesawah kita," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619