NASIONAL

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bakal dipinda

27 Mac 2019, 7:30 AM
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bakal dipinda

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan dipinda dalam usaha memperkemas peraturan sedia ada untuk mengekang kecuaian dan kemalangan di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah kementerian itu kini sedang menggubal peraturan kerja bina bagi dimasukkan di bawah akta itu, sekali gus akan menjadi mandatori kepada empunya, pereka bentuk, pembina dan kontraktor yang terbabit dalam industri pembinaan.

“Peraturan kerja bina itu nanti akan mengambil alih keperluan yang dinyatakan dalam garis panduan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan dalam Pembinaan (OSHIM) dan akan memastikan semua yang terlibat dalam industri pembinaan akan mematuhinya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memandatorikan garis panduan OSHIM untuk setiap pemaju industri terutamanya sektor pembinaan demi mengurangkan kejadian kemalangan waktu bekerja di tempat pembinaan.

Mahfuz berkata, kerajaan berhadapan cabaran yang sangat besar iaitu penambahan bilangan tapak bina di seluruh negara kepada 18,110 tapak bina pada tahun lepas berbanding 9,017 tapak bina pada 2013.

“Ini adalah cabaran yang kita hadapi dan sudah tentu akan ada kes-kes membabitkan tidak mengikut garis panduan dan kita bersedia ambil tindakan selepas menjalankan pemeriksaan dan audit terhadap tapak bina,” katanya. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619