PBT

Operasi bersepadu kiosk MPSJ demi jaga kebersihan

26 Mac 2019, 5:37 AM
Operasi bersepadu kiosk MPSJ demi jaga kebersihan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 26 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan operasi bersepadu meroboh struktur tambahan tanpa izin di dua kawasan kiosk MPSJ, pagi tadi.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, operasi itu dijalankan rentetan isu kebersihan akibat daripada peniaga yang tidak mematuhi syarat sewaan.

Katanya, perniagaan di kiosk MPSJ mesti bersifat 'take away' dan bukan menjadi gerai seperti yang terjadi kini.

"Bila ada struktur tambahan, peniaga jadikan ia sebagai gerai, jadi konsepnya sudah lari malah keadaan menjadi kotor. Kita mahu kiosk kembali kepada keadaan asal.

"Konsep kiosk terbuka, jadi bila tinggal barang selepas meniaga, anjing datang, jadi ia tak bersih. Berbeza dengan gerai ia bertutup," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Tindakan Perobohan Struktur Tambahan MPSJ, di Taman Puchong Permai, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, MPSJ juga bercadangan membaik pulih kesemua kiosk MPSJ di 23 kawasan secara berperingkat.

"Sasaran kita seluruh kiosk MPSJ beroperasi secara bersih. Dan kita harap, jangan anggap operasi ini sebagai diskriminasi atau penganiayaan kepada pihak tertentu.

"Pada kita isu kebersihan tiada tolak ansur, kita bimbang timbul masalah kesihatan orang awam pula akan datang," katanya.

Operasi membabitkan 51 unit kiosk itu, bermula jam 8.30 pagi dan dijalankan di Taman Puchong Permai serta Taman Puchong Perdana.

Operasi terbabit turut mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, MPSJ pada 20 Mac lalu sudah mengeluarkan Notis Amaran Awal kepada semua penyewa kiosk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619