NASIONAL

Dua hari lagi untuk bersihkan Kim Kim

16 Mac 2019, 7:23 AM
Dua hari lagi untuk bersihkan Kim Kim

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Pasukan pembersihan mempunyai tempoh singkat iaitu dua hari sahaja lagi untuk memastikan proses pembersihan Sungai Kim Kim dapat diselesaikan tepat pada masanya.

Ini berikutan hujan diramalkan turun pada Selasa ini, yang dibimbangi boleh membantutkan usaha pembersihan sungai berkenaan, sekaligus menjadikan pencemaran di sungai itu lebih teruk lagi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, setakat ini, operasi pembersihan sungai yang tercemar itu berjalan lancar.

“Kita berharap hari ini, hari esok, dua hari adalah maksimum kita boleh bersihkan. Kalau tiada hujan, cuaca baik, kita boleh bersihkan dengan baik.

“Status pembersihan Sungai Kim Kim semalam berjalan dengan baik. (Ia) satu perkembangan yang baik. Gerakan pantas. Sepanjang satu kilometer telah dibersihkan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melawat Medic Base di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis berkata sekiranya berlaku hujan yang lebat, ia boleh membahayakan berikutan kebimbangan pencemaran boleh tersebar luas .

“Saya difahamkan bahawa kerja-kerja pembersihan akan disegerakan dalam tempoh dua hari ekoran daripada ramalan hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum ini,” kata beliau.

Setakat ini, indeks kualiti udara kini berada di bawah 3 ppm (partikal setiap juta) iaitu paras berjaga-jaga.

Sekiranya bacaan lebih, dikhuatiri boleh mengundang bahaya, kata Yahaya.

“Sekiranya terdapat bacaan yang merbahaya, pihak bomba akan berbincang dengan komander operasi iaitu ketua polis negeri dan akan dibawa ke pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Buat masa ini, difahamkan kira-kira 100 termasuk pegawai, anggota keselamatan, kakitangan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), kontraktor serta ]agensi lain yang turut terlibat dalam operasi pembersihan di sungai berkenaan. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619