BERITA UTAMA

900 orang dirawat, penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

14 Mac 2019, 8:59 AM
900 orang dirawat, penduduk mula tinggalkan Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Khuatir dengan keadaan pencemaran kimia akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang sehingga kini menyebabkan lebih 900 orang dirawat, sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

Mereka mengambil keputusan keluar dari kawasan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Seorang daripada mereka, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata beliau hari ini membawa dua anaknya - berusia tiga tahun dan lima bulan ke Kempas, di sini untuk tinggal di rumah bapa mertuanya.

"Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya telah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuat pemeriksaan.

"Mulai hari ini, saya akan tinggal sementara di rumah bapa mertua malah sejak semalam, semua jiran saya sudah mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kehidupan kami di situ (Pasir Gudang) terancam," katanya yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Mahirah yang merupakan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 turut berharap proses pembersihan sungai dapat dijalankan dengan segera, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, berkata beliau telah membawa tiga anaknya menginap di sebuah hotel di pusat bandar sejak malam tadi.

Ini kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anaknya tambahan pula sekolah mereka telah diarap tutup semalam.

“Kami tinggal di hotel kerana merasakan tidak perlu untuk terus berada di rumah kami di Taman Bukit Dahlia…ada banyak sangat maklumat mengelirukan tentang insiden ini,” katanya.

Kejadian pencemaran bahan kimia sejak 7 Mac itu sehingga kini menyebabkan 947 orang awam terpaksa mendapatkan rawatan dengan sembilan daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi dan semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup serta merta. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619