GLOBAL

9 maut dalam insiden bangunan runtuh di Nigeria

14 Mac 2019, 3:31 AM
9 maut dalam insiden bangunan runtuh di Nigeria

LAGOS, 14 MAC: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala ramai lagi masih terperangkap selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh, pada Rabu di hab komersial Lagos, Nigeria.

Seorang pegawai penyelamat tempatan memaklumkan kepada agensi berita China Xinhua bahawa sekurang-kurangnya sembilan mayat ditemui, dan sekolah di bangunan tiga tingkat dalam kawasan Ita-Faji, di Pulau Lagos itu mempunyai 172 murid berdaftar.

Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan di wilayah barat daya Nigeria, Ibrahim Farinloye berkata, sukar untuk memberikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera kerana operasi menyelamat masih berlangsung.

"Kebanyakan mangsa yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu dan kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan," katanya.

Hospital Umum Pulau Lagos yang menempatkan kebanyakan mangsa terselamat untuk rawatan mengesahkan bahawa 41 orang berada dalam "keadaan stabil."

Pegawai bangunan negeri Lagos turut memaklumkan, bangunan itu ditandakan sebanyak tiga kali untuk dirobohkan.

Murid sekolah terbabit sedang belajar dalam kelas kira-kira 10 pagi waktu tempatan apabila bangunan itu runtuh tanpa amaran yang turut menjejaskan penduduk dan pemilik kedai berhampiran.

Punca runtuhan belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Abuja pada Rabu, menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung insiden runtuhan yang menyebabkan kemalangan jiwa, terutama kanak-kanak.

Presiden itu turut meminta kerajaan negeri Lagos, yang merupakan hab ekonomi Nigeria, "melakukan segala yang diperlukan agar insiden tragis sedemikian tidak berulang pada masa akan datang." -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619