NASIONAL

Pengubahan wang haram: Najib kekal mengaku tidak bersalah

13 Mac 2019, 4:55 AM
Pengubahan wang haram: Najib kekal mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Najib, 66, yang bersut kelabu mengangguk faham selepas jurubahasa wanita membacakan setiap satu pertuduhan dan ketika ditanya sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Najib berkata: "Minta bicara".

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas kes itu dibenarkan dipindah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mencadangkan mahkamah menggunapakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Feb lalu. Mahkamah menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes Najib yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta selepas Manoj memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu hari ini.

Manoj berkata, pada tarikh berkenaan, pihaknya akan memaklumkan perkembangan empat rayuan Najib yang didengar pada 11 Mac dan bersambung 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Rayuan berkenaan adalah membabitkan perintah menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran dokumen, pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dan sijil pindah kes.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama dari dana serupa.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619