NASIONAL

Penstrukturan sistem percukaian beri impak positif

12 Mac 2019, 5:16 AM
Penstrukturan sistem percukaian beri impak positif

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Penyusunan semula sistem percukaian negara berdasarkan konsep ‘shared properity’ menerusi pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberikan impak positif dengan penurunan kadar inflasi untuk rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inflasi negara dalam tempoh Jun sehingga Disember tahun lalu berada pada kadar 0.6 peratus berbanding 1.7 peratus ketika GST dikuatkuasakan daro Januari hingga Mei tahun lalu.

“Menerusi dasar kerajaan ini, ia telah menyumbang kepada penurunan Indeks Harga Pengguna yang jatuh 0.7 peratus pada Januari lalu.

“Ini adalah penurunan harga yang pertama dalam masa 10 tahun. Kerajaan sedang berusaha memastikan supaya penurunan harga ini dapat dinikmati golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan juga telah merendahkan cukai korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) dengan modal berbayar sebanyak RM2.5 juta ke bawah dari 18 peratus kepada 17 peratus bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor berkenaan.

“Pada 2017, sebanyak kira-kira 66 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia disediakan sektor SME berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kerajaan bercadang untuk mengurangkan lagi kadar cukai korporat apabila keadaan fiskal kembali pulih dalam masa tiga tahun,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619