NASIONAL

Wajibkan vaksin: Jakim akan bincang dengan KKM, KPM

7 Mac 2019, 9:59 AM
Wajibkan vaksin: Jakim akan bincang dengan KKM, KPM

MELAKA, 7 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pelajaran (KPM) mengenai kajian mewajibkan suntikan vaksin imunisasi ke atas kanak-kanak sebelum memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, jabatan itu sedia membantu kedua-dua kementerian berkenaan bagi meneliti cadangan mewajibkan suntikan vaksin imunisasi sebelum menetapkan sebarang dasar berhubung perkara terbabit.

"Apabila seseorang kanak-kanak tidak mengambil suntikan vaksin imunisasi, dia boleh memudaratkan orang lain seperti mana kes yang berlaku baru-baru ini ada kanak-kanak meninggal dunia disebabkan jangkitan difteria.

"Dari sudut 'maqasid syariah', (tanpa pengambilan vaksin) membahayakan nyawa orang lain, jadi kita perlu buat dasar mewajibkannya namun ia memerlukan fatwa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Townhall Maqasid Syariah peringkat Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Fuziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai KKM bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin bawah Program Imunisasi Kebangsaan yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Adly berkata, Kerajaan Melaka sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membincangkan pelbagai tuntutan syariah dalam Islam.

Melaka adalah negeri pertama melaksanakan program sesi perbincangan maqasid syariah sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan Persekutuan bagi membincangkan pelbagai perkara demi kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negeri dan negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619