NASIONAL

Dzulkefly: Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan

3 Mac 2019, 4:10 AM
Dzulkefly: Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan

PETALING JAYA, 3 MAC: Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia perlu direalisasi bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

"Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.

"Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara 'Run For Rare' di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.

Sebelum ini, calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat.

Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Dr Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik ​​​​​​​kesihatan ​​​​​​oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan ​​​​​​​kerana kekangan tempat ​​​​​​​selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang mana ia hospital terdekat di Semenyih.

Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya ​​​​​​​menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan Muhammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56 (725 undi).

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619