NASIONAL

PM: Kerajaan mahu kurangkan belanja atau tangguh projek mega

25 Feb 2019, 9:21 AM
PM: Kerajaan mahu kurangkan belanja atau tangguh projek mega

KLANG, 25 FEB: Kerajaan mahu mengurangkan belanja atau menangguhkan pelaksanaan projek pembangunan mega di negara ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas laporan berita bahawa pasukan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada China akan tiba minggu ini untuk merundingkan projek yang digantung itu, Perdana Menteri berkata: "Harapan kami adalah untuk mengurangkan belanja kerana projek rel ini amat mahal. (Kosnya) lebih RM55 bilion (dan) negara akan mengambil masa 30 tahun untuk membayar pinjaman.

"Kita akan menyelesaikan (bayaran pinjaman) dengan kadar faedah yang tinggi, yang amaunnya akan berjumlah RM140 bilion.”

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang Metrod Holdings Bhd di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak mampu menampung perbelanjaan besar seumpama itu pada ketika ini.

“Kita (kerajaan) sedang cuba mengurangkan kosnya atau sekiranya boleh, kita mahu menangguhkan pelaksanaan projek itu bukan kerana kita tidak mahu (meneruskan projek ECRL).

“Masih agak awal untuk kita kerana kita tidak ada wang. Kini masanya untuk kita memastikan wang dibelanjakan dengan betul kerana kita banyak hutang,” katanya, lapor BERNAMA.

Selain daripada ECRL, Perdana Menteri berkata, negara menanggung hutang daripada 1MDB dan banyak yang lain yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kini mereka beritahu kita bagaimana untuk mentadbir negara, semasa mereka mentadbir negara, mereka tidak lakukan kerja dengan baik.

“Kita perlu membelanjakan pendapatan yang ada untuk membayar hutang atau jika tidak, negara kita mungkin bankrap,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619