GLOBAL

Venezuela tutup kawasan bersempadan dengan Brazil

22 Feb 2019, 3:48 AM
Venezuela tutup kawasan bersempadan dengan Brazil

CARACAS, 22 FEB: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Khamis telah mengarahkan agar kawasan selatan negara itu yang bersempadan dengan Brazil ditutup, lapor agensi berita China Xinhua.

"Saya telah memutuskan bahawa di selatan Venezuela, mulai jam 8 malam ini, Khamis 21 Februari, kawasan yang bersempadan dengan Brazil akan ditutup sepenuhnya," katanya.

Langkah itu akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak, kata presiden terbabit ketika bertemu pemerintah tertinggi Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivarian.

Tindakan itu diambil susulan "provokasi" yang didakwa beliau dilakukan kerajaan sayap kanan Brazil.

Maduro berkata, Venezuela juga sedang mempertimbang penutupan sempadannya dengan Colombia.

"Saya tidak mahu membuat keputusan seperti ini namun saya sedang menilai penutupan sepenuhnya kawasan yang bersempadan dengan Colombia," katanya, lapor BERNAMA.

Colombia mahupun Brazil telah bersekutu dengan pembangkang Venezuela dan kempennya untuk menyingkirkan Maduro serta Parti Sosialis Venezuela (PSUV) yang memerintah daripada berkuasa.

Presiden itu turut menggesa pasukan bersenjata Colombia agar menahan diri daripada mengambil bahagian dalam gerakan yang didalangi Washington, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan pada 23 Februari yang pegawai Venezuela percaya adalah dalih untuk melakukan campur tangan ketenteraan.

"Tanggungjawab "bagi sebarang keganasan yang meletus di sempadan antara Colombia dan Venezuela dipikul oleh (Presiden Colombia) Ivan Duque"," katanya.

Pada Rabu, Caracas mengumumkan penggantungan laluan udara dan maritim bagi tempoh yang tidak ditetapkan dengan jirannya Kepulauan Aruba, Curacao dan Bonaire.

Ketegangan politik antara kumpulan penyokong kerajaan dan pembangkang di Venezuela semakin memuncak selepas Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 10 Januari lalu.

Pembangkang, yang kebanyakannya memboikot pilihan raya Presiden pada Mei tahun lalu, enggan mengiktiraf kemenangan Maduro dan telah mendesak agar pusingan baharu pengundian diadakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619