SELANGOR

Azmin yakin PAKATAN kekal di Semenyih

9 Feb 2019, 11:48 AM
Azmin yakin PAKATAN kekal di Semenyih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 9 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih meskipun wujud kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dilihat berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan PAKATAN sepanjang beliau memegang jawatan Dato' Menteri Besar di Selangor.

Katanya, beberapa perkara berbangkit di kawasan berkenaan menjadi isu utama untuk ditangani PAKATAN demi meneruskan kemenangan parti itu.

"Ini masa untuk kita kembali dan terus bersama rakyat bagi memastikan sokongan pengundi berpihak kepada kita.

"Pembangkang mahu bentuk kerjasama, itu adalah tanggungjawab dan cadangan strategi mereka.

"PAKATAN sudah membuktikan bahawa pembangunan di Selangor memberi manfaat kepada semua rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyatakan komitmen untuk berkampung di Semenyih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAKATAN.

"Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan, jadi mudah untuk saya bergerak.

"Semenyih adalah sebahagian dari Selangor dan Selangor tetap di hati saya," katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya dari PAKATAN, Mohd Bakhtiar Mohd Nor, 11 Januari lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619