NASIONAL

PLUS beri diskaun tol 10 peratus pada 5 Febuari

4 Feb 2019, 6:51 AM
PLUS beri diskaun tol 10 peratus pada 5 Febuari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 FEB: Pelanggan kenderaan kelas satu yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS dan lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada 5 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus ketika membayar tol di antara jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

"Ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sokongan pelanggan serta meraikan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, diskaun tol ini diberikan kepada pelanggan kenderaan kelas satu ketika mereka membayar atau membuat transaksi tol di lebuh raya PLUS iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Diskaun itu turut membabitkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 4 Februari tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran/transaksi tol pada jam 1 pagi pada 5 Februari, mereka akan tetap layak menikmati diskaun terbabit," katanya.

Bagaimanapun, katanya, diskaun itu tidak diberikan bagi transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20 peratus sedia ada.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619