GLOBAL

Mesir kembali bekal gas asli kepada Jordan

28 Jan 2019, 2:56 AM
Mesir kembali bekal gas asli kepada Jordan

AMMAN, 28 JAN: Jordan mula menerima separuh daripada keperluan harian gas aslinya dari Mesir bagi penjanaan elektrik, semalam.

Memetik laporan agensi berita China Xinhua, pegawai yang enggan dinamakan, memaklumkan Xinhua bahawa langkah itu dibuat selepas satu perjanjian antara Mesir dan Jordan dimeterai pada awal Januari.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan Mesir berjanji membekalkan separuh daripada keperluan gas Jordan bagi menjana pengeluaran tenaga pada 2019.

Pegawai itu berkata, perjanjian tersebut adalah penting bagi mengurangkan kos tenaga Jordan.

"Ini adalah satu langkah yang amat penting yang bakal menyokong ekonomi Jordan," kata pakar ekonomi Hosam Ayesh kepada Xinhua.

"Gas Mesir akan membantu meningkatkan daya saing industri-industri di Jordan kerana kos tenaga merupakan halangan utama yang sering dihadapi oleh industri," kata pakar ekonomi itu.

Jordan memerlukan sejumlah 330 juta kaki persegi gas asli setiap hari untuk menjana pengeluaran tenaga, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.

Jordan pernah menerima kira-kira 250 juta kaki persegi bekalan gas setiap hari dari Mesir pada 2004.

Jumlah itu dikurangkan pada 2009 sebelum dihentikan sepenuhnya pada 2011 selepas saluran paip di Sinai yang membekalkan gas ke Jordan diserang kumpulan pengganas.

Selepas Mesir menghentikan bekalan gasnya, Jordan terpaksa mengimport gas asli cecair yang lebih mahal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619