NASIONAL

Malaysia-negara EU bincang isu minyak sawit

26 Jan 2019, 5:01 AM
Malaysia-negara EU bincang isu minyak sawit

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit secara mampan semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara Kesatuan Eropah (EU) dan anggota Parlimen blok ekonomi itu, baru-baru ini.

Mesyuarat berasingan dengan menteri luar Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU; serta Jawatankuasa Luar Negeri dan dua naib presiden Parlimen Eropah itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 21 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-EU ke-22.

“Agenda utama Malaysia ialah isu minyak kelapa sawit. Menteri Luar menggariskan komitmen negara terhadap pengeluaran minyak kelapa sawit secara mampan dalam usaha meraih pengiktirafan antarabangsa bagi skim pensijilan Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Beliau seterusnya menyeru EU dan negara anggotanya menjadi pemudah cara bagi usaha Malaysia membangunkankan industri minyak kelapa sawit, termasuk dengan menyebarkan maklumat tepat berkenaan minyak kelapa sawit selain menekankan sistem perdagangan bebas perlu bersifat adil,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Saifuddin sekali lagi menekankan bahawa industri minyak kelapa sawit negara kini tertumpu kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan hasil, bukannya memperluas pembukaan ladang baharu seperti diuar-uarkan sesetengah pihak di Eropah.

Beliau turut menerangkan bahawa MSPO adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi secara komprehensif, menurut kenyataan tersebut.

“Menteri Luar seterusnya menjelaskan kerjasama berterusan antara Malaysia dan badan pensijilan antarabangsa seperti Pensijilan​ ​​​​​​Kemampanan dan Karbon Antarabangsa menunjukkan MSPO dilaksanakan secara integratif dan bukan satu usaha persendirian” katanya.

Wisma Putra berkata, Saifuddin turut mengalu-alukan tindakan Itali menandatangani Perjanjian Pengisytiharan Amsterdam pada 2017 sebagai tanda sokongan kepada minyak kelapa sawit mampan di Eropah.

Bagi isu lain, Saifuddin menyatakan sokongan negara terhadap demokrasi penyertaan berasaskan kedaulatan undang-undang, selain menyuarakan agenda utama Malaysia termasuk melaksanakan pembaharuan serta mempromosikan perlindungan hak asasi manusia.

Beliau turut berkongsi berkenaan program bantuan kemanusiaan yang disampaikan Malaysia kepada pelarian Rohingya, termasuk mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar dan memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di negara ini.

“Isu Laut China Selatan juga telah dibangkitkan. Dalam hal ini, Menteri Luar mengulangi pendirian Malaysia bahawa Laut China Selatan harus bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619