SELANGOR

Sultan Selangor berkenan sempurna penutupan tilawah al-Quran

26 Jan 2019, 3:11 AM
Sultan Selangor berkenan sempurna penutupan tilawah al-Quran
Sultan Selangor berkenan sempurna penutupan tilawah al-Quran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1440H/2019M, malam tadi.

Turut berangkat mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari bersama isteri, Masdiana Muhammad.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Amin Ahmad Ahya dalam sembah ucapannya berterima kasih kepada peserta Qari, Qariah dan Hafazan khususnya serta agensi kerajaan yang terbabit membantu pelaksanaan penganjuran majlis itu.

"Bertemakan "Menyantuni Umat, Membawa Rahmat", saya bagi pihak jawatankuasa optimis kita semua dapat meneruskan kegemilangan al-Quran, di samping memperkukuhkan jalinan silaturahim antara satu sama lain.

"Justeru, marilah kita sama-sama mempertahankan kesucian akidah dengan memperkukuhkan ukhwah dalam kalangan umat Islam, al-Quran dan hadis sebagai panduan yang menyuluh kita sepanjang zaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Katanya, majlis tilawah itu berlangsung selama empat hari bermula 22 sehingga 25 Januari lalu dengan pembabitan 69 peserta.

"Peserta yang berjaya pada malam ini akan mewakili Kerajaan Negeri ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 17 hingga 22 Mac ini di Kelana Resort, Seremban," katanya.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan di peringkat menghafaz iaitu Hafazan Juzuk 1-10; Hafazan Juzuk 1-20 dan Hafazan Juzuk 1-30, manakala peserta Tilawah pula diadili daripada segi Tarannum, Tajwid, Fasohah dan nada suara.

Antara pengisian majlis, penonton dihalwakan telinga dengan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan persembahan nasyid daripada kumpulan In-Team.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619