SELANGOR

118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan terima Notis 5A

26 Jan 2019, 1:41 AM
118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan terima Notis 5A
118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan terima Notis 5A

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Penantian hampir tiga dekad 118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan untuk menjadi pemilik tanah menjadi kenyataan apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Selangor, semalam.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian itu membuktikan Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat Selangor.

Katanya, ia ekoran sebelum 2008, Kerajaan Negeri mendapati terlalu banyak tanah yang diduduki penduduk tidak mempunyai hak milik sah sehingga menyebabkan tiada pelan tersusun.

"Bermula pada 2008, Kerajaan Selangor berusaha membantu penduduk untuk mendapatkan hak milik tanah dan memberikan lot tanah kepada mereka, namun pada waktu itu bayaran premium dianggap terlalu tinggi kerana ada penduduk tidak mampu.

"Kerajaan Negeri sekali lagi membuat tawaran dengan meminta penduduk membuat bayaran RM1,000 termasuk caruman parit dan infrastruktur, sekali gus membolehkan tanah itu menjadi hak milik mereka.

"Walaupun ia mengambil masa agak lama, namun cita-cita Kerajaan Negeri yang mahu memastikan semua rakyat mendapat tempat selesa dan baik sudahpun tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, di sini.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Amirudin berkata, pemberian hak milik terbabit adalah antara aset bernilai ekoran harga tanah berbeza saban tahun.

Katanya, di sebalik harga tanah di Selangor meningkat dan tinggi, Kerajaan Negeri tetap meneruskan pemberian berkenaan walaupun jumlah premium agak besar.

"Pembangunan kemajuan bukanlah yang kita mahu kecapi semata-mata tetapi Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya.

"Kita mampu melaksanakan program sebegini kerana Selangor mempunyai kepimpinan berintegriti," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619