NASIONAL

PAKATAN lindungi hak Orang Asal

19 Jan 2019, 4:30 AM
PAKATAN lindungi hak Orang Asal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited melindungi hak masyarakat Orang Asal di negara ini secara sah di sisi undang-undang.

Dalam kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, ia dibuktikan apabila

tindakan undang-undang difailkan pejabat Peguam Negara bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, kerajaan Persekutuan sangat prihatin terhadap penafian hak Orang Asli untuk menentukan masa depan sendiri.

“Ia selaras dengan peruntukan undang-undang Persekutuan dan Negeri yang melindungi hak mereka tetapi dilanggar oleh Kelantan.

"Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang berhak mendapat semua perlindungan yang sepatutnya daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Waytha berkata, biarpun terdapat banyak undang-undang di peringkat Persekutuan, diabaikan secara berterusan oleh Kelantan.

“Kenyataan Dasar Mengenai Pentadbiran Orang Asli Semenanjung Malaysia 1961 selain kewajiban terhadap mereka dalam perjanjian antarabangsa tetapi prinsip penentuan nasib sendiri yang menjadi aspirasi masyarakat Orang Asli telah diabaikan secara berterusan (oleh Kerajaan Negeri Kelantan).

“Banyak kes pencerobohan tanah masyarakat Pribumi berlaku tanpa persetujuan awal mereka yang melanggar cara hidup dan menafikan hak mereka untuk mempunyai identiti dan martabat sendiri sebagai rakyat,” katanya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Thomas berkata, Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta yang kemudian menggunakan jentera berat untuk menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan luas ditebang untuk penanaman pokok durian dan getah.

Katanya, tindakan itu diambil tanpa berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan kepada mereka, menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619