NASIONAL

PDRM lantik badan bebas kaji rasa selamat rakyat

16 Jan 2019, 4:42 AM
PDRM lantik badan bebas kaji rasa selamat rakyat

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melantik satu badan bebas bagi mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, meskipun indeks jenayah negara menurun saban tahun, persepsi rasa selamat rakyat di negara ini belum berada pada tahap memuaskan.

“Saya telah arahkan pihak R&D (penyelidikan dan pembangunan) PDRM dan JPJKK (Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti) kenal pasti satu badan bebas yang akan mengkaji tahap persepsi rakyat.

“Daripada kajian itu, kita akan dapat petunjuk untuk tingkatkan keyakinan rakyat dan membolehkan kita memperbaiki persepsi berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi dalam ucapannya berkata, semua negeri berjaya mencatatkan penurunan kes mengikut nilai ambang yang ditetapkan pada tahun lepas.

“Berdasarkan perbandingan Indeks Jenayah Per 100,000 Penduduk Se-Malaysia, bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2018, sejumlah 88,662 kes dilaporkan berbanding nilai ambang ditetapkan bagi tahun itu sebanyak 100,611 kes.

"Ini menunjukkan penurunan sebanyak 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes,” katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, peningkatan jumlah keahlian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang mencecah kira-kira 1.2 juta orang sehingga 31 Disember merupakan satu daripada faktor penyumbang kepada penurunan kadar indeks jenayah di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 60,552 aduan diterima dengan 59,945 aduan diambil tindakan,” jelasnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619