SELANGOR

ADN galak masyarakat kitar semula pek minuman

16 Jan 2019, 2:30 AM
ADN galak masyarakat kitar semula pek minuman
ADN galak masyarakat kitar semula pek minuman

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat digalakkan untuk mengamalkan kitar semula pek minuman terpakai bagi menyelamatkan alam sekitar dan mengurangkan kesan karbon.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau memuji inisiatif Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad dalam melaksanakan kempen Projek CAREton 2019 iaitu projek kitar semula pek minuman terpakai.

"Banyak manfaat akan kita peroleh apabila melaksanakan kitar semula pek minuman terpakai, selain menyelamatkan bumi ia juga dapat memberi impak positif kepada generasi akan datang.

"Saya memuji inisiatif ini malah optimis lebih banyak syarikat korporat mewujudkan program tanggungjawab sosial korporat sebegini pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, walau Kerajaan Negeri sering ke hadapan dalam melaksanakan program pembangunan alam sekitar, usaha tambahan dari syarikat korporat disambut baik bagi mencapai matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri contoh menerajui budaya hijau.

"Saya optimis mulai sekarang setiap masyarakat dapat mendidik diri sekali gus membudayakan amalan kempen kitar semula pek minuman terpakai ini," katanya.

Baru-baru ini, Jamaliah menghadiri Majlis Pelancaran Projek CAREton 2019 anjuran Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad di One Utama.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara pihak berkuasa tempatan yang dipilih projek CAREton 2019 sebagai benefisiari baru.

Projek CAREton 2019 menyasarkan 35 juta pek minuman dikitar semula pada tahun ini.

Pengguna boleh merujuk http://recycle-easy.com.my untuk meletakkan pek minuman mereka yang digunakan di 500 pusat koleksi CAREton di seluruh Malaysia.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619