SELANGOR

SPR terima notis kekosongan DUN Semenyih

15 Jan 2019, 7:21 AM
SPR terima notis kekosongan DUN Semenyih

PUTRAJAYA, 15 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, mengesahkan menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lalu.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pemakluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, semalam.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun di ibu pejabat SPR, pada Jumaat ini.

"Mesyuarat khas tersebut akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon BN, PAS dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619