NASIONAL

Kurangkan aktiviti pelancongan ke Hatyai elak virus Chikungunya

15 Jan 2019, 4:52 AM
Kurangkan aktiviti pelancongan ke Hatyai elak virus Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Perlis menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand, khususnya Hatyai, berikutan penularan virus Chikungunya di wilayah itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann berkata, pihaknya kini sedang memantau secara ketat pelancong dari negara jiran itu yang masuk ke negara ini.

Katanya, tumpuan pemantauan itu dilaksana di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Padang Besar, Wang Kelian dan Jeti Kuala Perlis bagi pengunjung yang menaiki feri dari Satun, Thailand.

"Pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk dan mengenal pasti individu yang berisiko membawa virus itu agar penularannya dapat dikawal di negeri ini.

"Kita khuatir jika kawasan sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak dengan pantas ke negara ini.

"Jadi saya meminta rakyat dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan negeri seandainya mereka perlu menjalani pemeriksaan ketika berada di pintu sempadan," katanya dipetik Berita Harian.

Chai Ann berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan bergerak seiring.

"Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan utama pelancong dari Hatyai kerana jaraknya lebih dekat berbanding pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

"Selain itu, kita juga sarankan pelancong dari Perlis agar menjalani rawatan pemeriksaan sekiranya mereka terkena demam panas, ruam di badan dan berasa sengal sendi sejurus pulang dari Thailand," katanya.

Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus Chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.

Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di klinik di bandar berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619