NASIONAL

Sultan Perak pangku jawatan Yang di-Pertuan Agong

7 Jan 2019, 7:24 AM
Sultan Perak pangku jawatan Yang di-Pertuan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JAN: Mesyuarat Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Perkara demikian dimaklumkan sumber terdekat kepada Sultan Nazrin, lapor Astro Awani.

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan, di Istana Negara, di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam menentukan pengganti YDPA, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, kerajaan juga menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan YDPA.

"Itu soal raja-raja. Mereka yang tentukan. Kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini, kita terima sahaja keputusan Majlis Raja-Raja.

"Sama ada penggantinya ditentukan mengikut giliran atau apa, kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja. Saya tidak tahu bagaimana mereka tentukan pengganti, sama ada melalui undi atau apa, terpulang pada raja-raja," katanya dalam sidang medianya di Terengganu.

Dr Mahathir berkata, Majlis Raja-Raja itu juga tidak terikat dengan susunan jawatan berkenaan walaupun terdapat turutan giliran.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua lapisan masyarakat supaya menghormati sesiapa pun yang diputuskan Majlis Raja-Raja sebagai penganti.

"Rakyat tidak ada hak tentukan siapa kena berhenti, siapa patut ganti. Kita terima sajalah apa keputusan raja-raja.

"Kita harap pengganti Sultan Muhammad V sebagai YDPA dapat diumumkan secepat mungkin," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619