SELANGOR

Jadi 'mata dan telinga' banteras aktiviti sampah haram

27 Dis 2018, 8:32 AM
Jadi 'mata dan telinga' banteras aktiviti sampah haram

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, mahupun Ahli Majlis dan penduduk di negeri ini disaran menjadi 'mata dan telinga' dalam membanteras aktiviti pembuangan sampah haram atau 'illegal dumping'.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, maklumat boleh disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah haram.

Katanya, ia membolehkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

"Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak termasuk Ahli Majlis dilantik supaya bertindak secara kolektif bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

"Penguatkuasaan dan pemantauan pihak PBT juga perlu dilaksanakan dari masa ke masa bagi menghalang kegiatan ini dari berleluasa terutamanya di daerah Kuala Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir; Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat dan Pengarah Urusan SMARTSEL Sdn Bhd, Suhaimi Mohamad Tahir.

Pada masa sama, Sze Han berkata, penduduk di negeri itu juga perlu menyemai sikap mementingkan kebersihan supaya Selangor muncul negeri terbersih.

"Ini penting kerana kebersihan tidak hanya bergantung kepada PBT atau kontraktor dilantik, sebaliknya ia disemai dari setiap lapisan rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, KDEBWM sudah mengenal pasti beberapa kawasan 'hotspot' pembuangan sampah haram antaranya Ijok, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Tanjung Karang (kawasan laut).

Katanya, walaupun daerah itu terletak jauh dari kawasan bandar, namun masih menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah haram termasuk secara pukal.

"Kita mengenal pasti beberapa kawasan antaranya Jalan Sasaran iaitu jalan terpencil menjadi kawasan lori membuang sampah haram.

"Mereka ini dilantik syarikat swasta untuk menguruskan sampah industri secara kutipan harian, mingguan atau bulanan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619