GLOBAL

Jepun-Korea Selatan sedia runding hubungan dua hala

24 Dis 2018, 7:42 AM
Jepun-Korea Selatan sedia runding hubungan dua hala

SEOUL, 24 DIS: Korea Selatan dan Jepun akan mengadakan satu rundingan diplomatik di Seoul mengenai hubungan dua hala dan Korea Utara, pada 31 Disember ini.

Ia susulan ketegangan disebabkan oleh perbezaan berhubung sejarah bersama serta isu sensitif lain, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian luar.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Timur Laut di Kementerian Luar Seoul, Kim Yong-kil akan bertemu rakan sejawat beliau dari Jepun, Kenji Kanasugi, pada sebelah petang.

Pertemuan mereka diatur susulan ketegangan diplomatik berhubung keputusan Mahkamah Agung Korea baru-baru ini bahawa dua firma Jepun harus membayar pampasan kepada rakyat Korea yang dipaksa bekerja di kilang mereka semasa Perang Dunia Kedua.

Jepun secara lantang membantah keputusan itu dan menyatakan bahawa semua isu berkaitan pampasan sudah diselesaikan menerusi perjanjian negara ke negara untuk menormalkan hubungan diplomatik dua hala, pada 1965.

Untuk rekod, Tokyo menjajah Semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945.

Keadaan kembali tegang minggu lepas apabila Tokyo mendakwa sebuah kapal perang Korea Selatan menghalakan radar kawalan tembakannya ke arah pesawat peronda maritim Jepun.

Seoul menyangkal dakwaan itu dan berkata Tokyo salah faham berhubung operasi tentera lautnya untuk membantu sebuah kapal Korea Utara yang hanyut berhampiran sempadan laut.

Sebelum rundingan di peringkat ketua pengarah, Kanasugi, yang juga duta nuklear terkemuka Tokyo, akan bertemu Lee Do-hoon, wakil khas Seoul bagi hal ehwal keamanan dan keselamatan Semenanjung Korea.

Pada pertemuan itu, mereka dijangka membincangkan projek kerjasama antara Korea yang sedang berlangsung dan isu lain berkaitan Korea Utara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619