NASIONAL

Lebih 7,200 ahli Umno keluar parti, sertai Warisan

9 Dis 2018, 1:26 AM
Lebih 7,200 ahli Umno keluar parti, sertai Warisan

TAWAU, 9 DIS: Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 7,206 bekas ahli UMNO menyertai 121 cawangan di bahagian Kalabakan, di sini, hari ini.

Penyerahan borang keahlian itu disampaikan oleh wakil cawangan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan disaksikan oleh Setiausaha Agung parti, Lorreto S Padua.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri, dalam ucapannya berkata, penting untuk ahli parti membesarkan parti dengan menambah keanggotaan parti.

"Menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menguatkan parti dengan membesarkan parti.

"Namun dalam membesarkan parti banyak nilai-nilai positif perlu diamalkan ahli parti, bukan hanya ahli bahkan pimpinan itu perlu beramal kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sokongan rakyat membolehkan pimpinan kerajaan baharu hari ini memimpin dan menukar pemerintah yang lama.

"Setiap perkara yang dilakukan ahli parti perlu berpaksikan kepada rakyat, kehendak rakyat walaupun bukan semua yang dapat dipenuhi sekarang.

"Ada rakyat yang mahu kerja, ada rakyat yang mahu rumah, tetapi sekurangnya kita perlu besarkan parti ini untuk kita mengetahui citarasa serta rintihan rakyat selain membangunkan Sabah dan mempertahankan hak rakyat seperti yang disebut dalam janji Warisan pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Selain itu, beliau berkata partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan kerana bertujuan untuk menyatukan rakyat.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619