SELANGOR

SIRIM terap elemen Industri 4.0 kepada PKS

6 Dis 2018, 6:54 AM
SIRIM terap elemen Industri 4.0 kepada PKS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: SIRIM Berhad (SIRIM) kini membangunkan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam mengguna pakai elemen Industri 4.0 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, PKS perlu mengarap peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan program itu.

Katanya, antaranya program SIRIM-Fraunhofer yang memberi manfaat kepada usahawan melalui audit teknologi dan program intervensi teknologi sesuai dengan keperluan khusus syarikat.

“SIRIM adalah agensi yang dapat membantu usahawan ke arah saranan kerajaan, bermula daripada pembangunan usahawan, penjenamaan, reka bentuk pembungkusan dan mesin serta latihan dan perundingan penambahbaikan produk.

“Dengan kelebihan di dalam penyelidikan dan inovasi teknologi, piawaian industri dan kualiti, SIRIM menawarkan penyelesaian khusus untuk memenuhi keperluan semua sektor industri, menjadikan SIRIM rakan inovasi terbaik untuk PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sijil Program Peningkatan Prestasi/Keupayaan dan Daya Saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKPKS) bagi 2017/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke 11, SIRIM sedar untuk turut terus memperkukuhkan ekonomi menerusi PKS.

“Oleh itu, usaha mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana.

“Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 41 peratus pada 2020.

“Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619