SELANGOR

Pengurusan sampah manual ceriakan Pulau Ketam

4 Dis 2018, 10:30 AM
Pengurusan sampah manual ceriakan Pulau Ketam
Pengurusan sampah manual ceriakan Pulau Ketam

OLEH SHEEDA FATHIL

PULAU KETAM, 4 DIS: Pengurusan sampah secara manual yang dilaksanakan syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB) kini menceriakan suasana Pulau Ketam, berbanding tujuh tahun lalu.

Pemangku Pengurus Operasi HASB, Aryan Redzuan Abdullah berkata, melalui kaedah itu, pekerja akan mengutip sampah menaiki basikal dan membawanya ke pusat pengumpulan sampah, di kawasan berhampiran.

"Sehingga kini, HASB sudah mengutip sejumlah 2,580 tan sampah dengan 70 peratus dari 2,000 unit rumah, manakala 30 peratus pula dari 200 unit premis perniagaan seperti restoran, kedai runcit dan hotel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi lawatan di sekitar Pulau Ketam, di sini, hari ini.

Katanya, selepas diberi kepercayaan mengambil alih kerja pengurusan sampah di Pulau Ketam, persekitaran pulau berkenaan yang dahulunya kotor kini kembali ceria, bersih dan tidak busuk.

"Sebelum ini, kebanyakan penduduk hanya membuang sampah dengan mencampak sahaja di laut, namun selepas kita mengadakan beberapa program seperti kempen kesedaran, ia sedikit sebanyak membawa perubahan.

"Kesedaran penduduk kini semakin meningkat, malahan mereka sudah mula membuat aktiviti pengasingan sampah mengikut kategori," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan masyarakat, agensi swasta mahupun kerajaan hadir ke Pulau Ketam jika ingin membuat program tanggungjawab sosial korporat untuk mengindahkan lagi kawasan berkenaan.

"Sehingga hari ini, banyak syarikat swasta, kerajaan dan institusi hadir membuat pelbagai bentuk program, di samping mendidik penduduk di sini berkenaan penjagaan kebersihan," katanya.

HASB adalah anak syarikat di bawah KDEB Waste Management Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan kutipan sampah, di Pulau Ketam sejak 2011.

Difahamkan, pengurusan sampah diuruskan HASB adalah secara 'door to door', selama dua kali sehari (pagi dan petang).

Kaedah yang digunakan amat menjimatkan, mudah dan efisien serta anggaran sampah dijana sejumlah 1 hingga 1.5 tan setiap hari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619